Pemain yang lebih mesra disapa Faisal Halim itu berkata bahawa aksi 45 minit yang ditampilkan pada babak pertama perlawanan semalam bukanlah persembahan terbaiknya, tetapi ia menunjukkan perkembangan positif dan menjadi penanda aras untuk menilai semula tahap kemampuannya di atas padang.
"Saya rasa 45 minit itu bukanlah permainan sebenar saya. Jika dibandingkan dengan persembahan sebelum ini, ia belum mencapai tahap maksimum saya. Saya masih memerlukan masa untuk mencapai tahap tersebut dan berharap semua dapat memberi ruang kepada saya untuk mengejar semula.
"Walaupun mengalami sedikit kecederaan seperti jatuh dan tangan kiri terkepak dalam perlawanan semalam, saya dapat rasakan apa yang mengganggu prestasi saya.
"Tiada kecederaan serius, dan saya melihat ini sebagai kemajuan yang baik untuk diri saya. Kini, saya lebih yakin dan ingin fokus untuk meningkatkan kecergasan serta kekuatan saya," katanya selepas perlawanan TSSC 2024 di Stadium Merdeka malam tadi.
Pada aksi tersebut, Pilihan Selangor sekali lagi menjulang kejuaraan Piala Sultan Selangor (TSSC) untuk edisi ketiga berturut-turut selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1.
Faisal turut beraksi pada separuh masa pertama dan hampir menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata kemenangan skuad Gergasi Merah malam semalam memberikan suntikan semangat yang berharga kepada pasukan Selangor menjelang final Piala FA yang akan berlangsung Sabtu depan.
"Kita ke final Piala FA dengan satu matlamat, menang atau kalah. Tiada apa yang perlu disimpan, kami akan memberikan yang terbaik untuk penyokong Selangor. Kami beraksi bukan hanya untuk bertanding di final, tetapi untuk berjuang sehabis baik," katanya.
Faisal membuat kemunculan pertama di khalayak ramai pada 16 Jun lalu dalam perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC.
Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. Beliau terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
-- BERNAMA