Tokong tertua di negara ini berusia 600 tahun terletak di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan dan menjadi tarikan masyarakat Cina setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Tokong Swee Nyet Keung, atau dikenali sebagai Tokong Mek, mempunyai nilai sejarah tersendiri itu turut menjadi tarikan kebudayaan kepada bangsa lain.

Pengerusi Unit Keceriaan Tokong Mek, Foo Mei Lin berkata, sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, pihaknya menyasarkan lebih 1,500 masyarakat Cina dari dalam dan luar negeri akan berkunjung ke tokong berkenaan bagi memeriahkan lagi perayaan itu.

Katanya, persiapan rapi sudah dibuat dan tokong berkenaan telah dihias cantik.

Menyingkap sejarah, Tokong Mek dibina di penempatan asal orang Cina yang pertama di negeri Kelantan iaitu di Kampung Pulai.

"Kami lalukan semua ini bagi memastikan generasi muda sekarang fahami kebudayaan yang diwarisi serta erti Tahun Baharu Cina yang sebenarnya," katanya.

Tokong Mek dibina di penempatan asal orang Cina yang pertama di negeri Kelantan. - Astro AWANI/Muhafandi Muhamad

Bahan tinggalan seperti gambar lama, mangkuk sembahyang dan meriam purba yang berusia puluhan tahun masih lagi terdapat di Tokong Mek.

Ia digunakan untuk aktiviti keagamaan dan sambutan perayaan masyarakat Cina sejak puluhan tahun dahulu.

Selain itu, gambar lukisan Tokong Mek atau Kuan Yin yang berasal daripada China masih lagi terdapat di dalam tokong ini.

Tokong Mek kini menjadi salah satu produk pelancongan terkemuka di jajahan Gua Musang.