KOTA BHARU: Baru-baru ini tular di media sosial beberapa keping foto Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Gambar tersebut dikongsikan penumpang dalam bas berkenaan.

Mustapa, atau mesra dikenali sebagai Tok Pa, dilihat menaiki bas ekspres bersama beberapa orang pegawainya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan pada Jumaat malam.

Tok Pa, terkenal sebagai seorang menteri yang kuat bekerja dan dengan jadual yang padat, perlu berada di Kelantan pada pagi Sabtu (semalam) bagi mengikuti beberapa program bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki sedang dalam rangka lawatan ke negeri itu. 



Seorang penumpang yang turut bersama dalam perjalanan itu terkejut apabila menyedari seorang menteri kanan berada dalam bas yang sama.

Raja Zaidi Raja Mohamed berkongsi beberapa keping gambar Tok Pa dan sempat berswafoto sebelum menaiki bas yang sama. 



"Tak sangka, ada menteri dalam bas saya. Mana ada menteri naik bas ekspres balik Kelantan," katanya kepada Astro AWANI.

Difahamkan, Tok Pa menteri pertama di Malaysia yang pulang ke kawasannya menaiki bas ekspres.

Tok Pa, Ahli Parlimen Jeli, tiba di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu sekitar jam 6 pagi Sabtu.