PUTRAJAYA: Butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan didedahkan kepada umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu adalah sulit dan merupakan hak Lembaga Pengampunan.

"Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Kita tak boleh buat perkara itu open (dibuka untuk umum), itu hak Lembaga Pengampunan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Peluncuran Kiosk Sentuhan MADANI, pada Khamis.

Pada Rabu, Ketua Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesyorkan agar kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan titah adendum.

Katanya, pendedahan itu boleh memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.