Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) membuka tirai kalendar pelancongan negara, dengan sasaran menarik kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa ke dalam negara, untuk menjana pendapatan negara.

Pelbagai program dirancang bagi menarik kehadiran pelancong dari pasaran utama dunia seperti China, Jepun dan United Kingdom, dengan sasaran RM100 bilion pendapatan daripada industri pelancongan.

Pelancaran VM2020 yang disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang detik tahun baharu 2020 di Dataran Merdeka di sini malam tadi berlangsung dengan meriah, dan pelbagai acara seumpamnya turut diadakan di beberapa negeri.

Di KELANTAN, pelancaran VM2020 diadakan di Sungai Golok (Selatan Thailand), yang menjadi pintu masuk Malaysia-Thailand.

Kira-kira 2,000 penduduk yang tinggal di sempadan kedua-dua negara, membanjiri Tapak Festival Dewan Bandaran Sungai Golok bagi menyaksikan pelancarannya yang disempurnakan oleh Gabenor Wilayah Narrathiwat, Ekkrat Leesen.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Cawangan Kelantan Mohd Aidil Afizi Daud dan penggiat pelancongan kedua-dua negara.

Ketika ditemui pemberita, Ekkrat berkata kerajaan Thailand akan turut mempromosikan Malaysia kepada rakyatnya.

"Kami sentiasa bekerjasama dalam soal ini, dan yakin ramai pelawat dari dua negara jiran tetangga ini akan saling berkunjung dengan lebih kerap tahun depan," katanya.

Mohd Aidil pula berkata beliau berharap penduduk di Selatan Thailand terutamanya, dapat beramai-ramai mengunjungi Malaysia, terutamanya negeri Kelantan yang turut melancarkan Tahun Melawat Kelantan 2020.

Majlis pelancaran itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan kedua-dua belah negara dan dimeriahkan lagi dengan pertunjukan bunga api.

Di PAHANG, ribuan orang awam berkumpul di Zoo Mini Taman Teruntum, Kuantan bagi menyambut tahun baharu yang diadakan serentak dengan pelancaran Nite Zoo dan VM2020 peringkat negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda semasa berucap mengingatkan penduduk negeri untuk bersama-sama menjayakan VM2020 dengan menjaga kebersihan bagi menjamin keselesaan pelancong.

"Sudah pasti apabila kita berkunjung ke tempat baharu, antara perkara yang diperhatikan adalah kebersihan. Jika kawasan itu bersih dan selesa, kita cenderung untuk kembali semula dan memberi maklum balas baik kepada orang terdekat.

"Selain itu, Nite Zoo yang akan beroperasi pada setiap malam minggu akan menjadi tarikan baharu di daerah ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pantai peranginan popular Teluk Cempedak," katanya di sini, pada Selasa.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengarah pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar.

Di MELAKA, lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong tempatan dan asing menghadiri pelancaran 'Melaka Coundown Fiesta 2019' serta 'Visit Truly Asia Malaysia 2020' Peringkat Negeri Melaka di Menara Taming Sari, Bandar Hilir di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis, dan pengunjung dihiburkan dengan Tarian Kebudayaan Selamat Datang, persembahan artis jemputan, pertunjukkan bunga api selain kiraan detik ketibaan Tahun Baharu 2020.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri turut menyaksikan pelancaran Kalendar Acara Tahunan 2020 untuk Melaka.

Di JOHOR, sambutan tahun baharu 2020 serta detik bermulanya Tahun Melawat Malaysia 2020 diraikan secara besar-besaran dengan lebih 5,000 orang membanjiri Dataran Marina Harbour di Iskandar Puteri, di sini.

Sambutan bermula dengan persembahan kebudayaan dan konsert mini oleh artis tempatan seperti Joe Filzzow, DJ Dave, Bunga Isme, The Couple Band dan Orkes A Hizadin seawal pukul 9.00 malam dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Majlis anjuran kerajaan negeri dan Tourism Johor itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang menerima replika gambus sebagai gimik pelancaran bermulanya VM2020 dan Tahun Melawat Johor 2020.

Di PULAU PINANG, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin melancarkan sambutan tahun baharu 2020 dan VM2020 di The TOP Penang di Komtar.

Yeoh dalam ucapan ringkasnya berkata Pulau Pinang merupakan antara destinasi terbaik percutian di Asia dan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha merancakkan kemasukan pelancong domestik dan luar negara dengan fokus kepada keunikan budaya, warisan, makanan serta pantai yang indah.

Di TERENGGANU, program Mega Melawat Malaysia dilancarkan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada VM2020.

Selain pengenalan produk-produk pelancongan terbaharu Terengganu, acara itu diserikan dengan kehadiran beberapa ikon Terengganu, antaranya pemain pasukan Terengganu FC dan pemain pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).

-- BERNAMA