50 individu daripada 1,200 orang yang telah diperdaya untuk menunaikan umrah dan mengalami kerugian RM4.8 juta mendapat perintah tribunal terhadap sebuah agensi pelancongan yang beroperasi di Wisma Rampai di Seri Rampai, Wangsa Maju bagi membayar balik kepada mangsa dalam masa 15 hari.

Peguam kepada mangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dari Peguamcara Haida Mohd Fikah & Partners berkata, anak guamnya akan menyerahkan notis daripada Tribunal Tuntutan Pengguna kepada pemilik syarikat di rumahnya di Setiawangsa.

Sebelum mangsa ke rumah pengurus syarikat terbabit untuk menyerahkan surat keputusan tersebut, mereka mengadakan sembahyang hajat bertujuan untuk memudahkan segala masalah dapat di atasi.

Dua mangsa yang ditemui berkata, mereka mengalami kerugian sebanyak RM 8,000 dan berharap wang tersebut dapat dikembalikan bagi membolehkan meneruskan hasrat untuk mengerjakan umrah.

Agensi pelancongan terbabit dilaporkan gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan pada Jun tahun ini walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat sejak 2012.

Satu laporan polis juga dilaporkan telah dibuat di Balai Polis Wangsa Maju pada 5 Oktober lepas .