KUALA LUMPUR: Henti melabel kumpulan pejuang Palestin, Hamas sebagai sebuah badan pengganas, radikal atau penderhaka.

Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Kamaruzzaman Yusoff berkata, perjuangan Hamas berjaya memberi satu gambaran baik kepada organisasi kemanusiaan di seluruh dunia bahawa punca tercetus keganasan sebenarnya adalah daripada pihak rejim Israel.

"Dalam konteks rakyat Malaysia, kita mesti ingat bahawa pertama sekali, tidak betul jika Hamas masih dianggap gerakan pengganas, gerakan radikal, gerakan penderhaka dan sebagainya.

"Ini kerana kesan kepada perjuangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah memberikan satu gambaran yang baik kepada gerakan kemanusiaan terutama rakyat di seluruh dunia yang tidak lagi menganggap Hamas sebagai jahat tetapi yang jahat adalah Israel," katanya dalam Buletin Awani pada Ahad.

Tambah beliau, rakyat Malaysia juga perlu memberi pemahaman antara satu sama lain tidak kira bangsa mahupun agama bahawa konflik di Gaza bukan isu untuk umat Islam semata malah ia satu bentuk kezaliman melampau.

"Kita juga perlu memberi pemahaman kepada rakyat Malaysia keseluruhannya termasuk Muslim, non Muslim, rakyat berbilang bahasa dan bangsa, mereka faham bahawa isu Gaza ini bukan isu untuk umat Islam sahaja tetapi ini adalah satu fenomena yang berkait dengan kezaliman satu pihak ke atas pihak yang lain.

"Kejahatan yang dilakukan oleh sebuah Kerajaan (Israel) terhadap rakyat (Palestin) yang tidak berdosa dan seterusnya perjuangan ini juga melibatkan perjuangan kemanusiaan dan sokongan yang sama kita tunjukkan terhadap mendiang Nelson Mandela yang memperjuangkan kebebasan, kesaksamaan dan keamanan di Afrika Selatan," katanya lagi.