Setakat ini, 16 daripada 33 tebusan yang dijadualkan dibebaskan dalam fasa semasa perjanjian telah dibebaskan oleh Hamas, manakala Israel telah membebaskan 656 tahanan Palestin daripada senarai hampir 2,000 orang.
Bagaimanapun, pertukaran mingguan ini mungkin terganggu selepas pasukan pejuang Palestin, Hamas menuduh Israel melanggar perjanjian tersebut dan mengumumkan penangguhan pembebasan tebusan pada hari Sabtu “sehingga diberitahu kelak.”
Susulan pengumuman dibuat Hamas itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi maklum balas dengan memberi peringatan, gencatan senjata di Gaza akan berakhir jika Hamas tidak membebaskan tebusan seperti yang dirancang pada hari Sabtu.
“Jika Hamas tidak memulangkan tebusan kami menjelang tengah hari Sabtu - gencatan senjata akan berakhir dan IDF (Angkatan Pertahanan Israel) akan kembali melancarkan serangan sengit sehingga Hamas dikalahkan sepenuhnya,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan pada Selasa.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang utusannya membantu menjadi perantara perjanjian ini bersama pegawai dari Mesir dan Qatar mencadangkan agar pendekatan berperingkat dalam perjanjian ini diketepikan dan memberi kata dua kepada Hamas untuk membebaskan semua tebusan sekali gus.
Pada Isnin, Hamas mengancam untuk menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya, menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dengan menyasarkan rakyat Palestin menggunakan tembakan di pelbagai kawasan di Gaza, melambatkan kepulangan penduduk yang dipindahkan ke utara yang teruk dibedil, serta tidak membenarkan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui memasuki wilayah tersebut.
Kumpulan itu juga menuduh Israel melambatkan kemasukan ubat-ubatan penting dan bekalan hospital, serta tidak membenarkan kemasukan khemah, rumah pasang siap, bahan api atau jentera pembersih runtuhan ke Gaza.
Jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Obeida dalam hantaran di media sosial berkata: “Kami (Hamas) menegaskan komitmen kami terhadap terma perjanjian selagi pihak penjajah juga komited terhadapnya.”
Dalam kenyataan berikutnya, Hamas berkata, masih ada peluang untuk pembebasan tebusan diteruskan seperti yang dirancang, dengan menyatakan bahawa Israel masih mempunyai masa yang mencukupi “untuk memenuhi tanggungjawabnya.”
Dalam perkembangan sama, Israel pula menuduh penangguhan oleh Hamas merupakan “pelanggaran sepenuhnya terhadap perjanjian gencatan senjata dan perjanjian untuk pembebasan tebusan,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.
Katz berkata, beliau telah mengarahkan tentera untuk “bersiap sedia pada tahap amaran tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan di Gaza.”
Tentera Israel juga memaklumkan, mereka meningkatkan tahap kesiapsiagaan di selatan Israel dan akan memperkukuhkan kawasan tersebut bagi meningkatkan “kesiapsiagaan untuk pelbagai senario.” - Agensi
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)