Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor, Faizal Rahman berkata, media sosial sememangnya berkuasa, namun TikTok menjadi daya penarik kerana menawarkan imbuhan kepada pengguna yang mencipta kandungan dalam aplikasi tersebut.
“Saya kurang setuju mengatakan platform ini lebih mudah untuk memberikan pandangan kerana sama sahaja seperti Facebook atau Instagram. Semua orang berhak meluahkan pandangan mereka.
“Kelebihan aplikasi ini hanya didorong oleh imbuhan yang memberi pulangan wang kepada pembuat kandungan terutama isu politik atau hal ehwal semasa semakin hangat diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 412 yang bertajuk ‘TikToker perosak politik atau bukan?’ yang dihoskan oleh Ismail Adanan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Antara panel yang turut hadir, Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga dan Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain.
Mengulas lanjut, Faizal berkata, terdapat segelintir pihak menjadikan media sosial sebagai tempat propaganda atau hasutan untuk meraih undi rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau turut mengakui terpaksa mengambil masa lama bagi memasuki medium TikTok untuk berkempen kerana terdapat stigma bahawa aplikasi tersebut mempunyai elemen hiburan yang kurang sesuai digunakan sebagai tempat perbincangan berkaitan politik negara.
Ujarnya, dengan penggunaan aplikasi tersebut secara meluas memberi kelebihan kepada pihak PN yang ketika itu sangat aktif berkempen dan membiayai individu tertentu bagi meraih undi rakyat.
“Saya akui untuk memasuki platform TikTok kerana stigma aplikasi ini hanya digunakan sekadar untuk berhibur.
“Terdapat parti politik yang membayar individu untuk melakukan hasutan atau propaganda bagi meraih undi menggunakan platform TikTok.
“Perkara ini turut diakui sendiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan (PH) agak terlambat dalam memasuki arena TikTok untuk berkempen secara aktif semasa PRU15 lalu,” katanya. - Sinar Harian