Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata ketiga-tiga suspek lelaki berusia 35 hingga 38 tahun dan wanita berusia 32 tahun yang dipercayai pasangan kepada seorang daripada suspek itu, ditahan di sebuah premis yang diserbu melalui operasi khas bermula pukul 9.11 malam pada Rabu.
Beliau berkata operasi hasil risikan selama dua minggu itu turut berjaya menyelamatkan 11 lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun, yang dipercayai untuk diperdagangkan sindiket berkenaan.
"Modus operandi sindiket ialah membawa masuk rakan senegara yang ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong melalui pintu masuk udara dan segala urusan pasport, visa serta tiket penerbangan diuruskan sindiket.
"Seterusnya mangsa akan dibawa dan ditempatkan di rumah transit. Kadar bayaran dikenakan sindiket RM15,000 setiap seorang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar daripada rumah transit berkenaan, dan sindiket ini telah beroperasi selama tiga bulan," katanya.
Zakaria berkata turut dirampas 17 pasport Bangladesh, 20 telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM800 dan US$800, masing-masing sebuah kereta Proton Gen 2 dan Proton X70.
Tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA