Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesahkan penahanan tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden pembuangan sisa toksik berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di sini pada Khamis lalu.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, suspek terdiri daripada dua pemilik syarikat dan seorang pekerja.

Kesemua suspek, kata beliau, berusia antara 40 hingga 50 tahun.

"Tadi kita menangkap suspek kedua dan dibawa oleh polis dan suspek mengaku. Kita akan tuduh dalam minggu ini juga," kata beliau.

Dengan penangkapan itu, JAS katanya, yakin kes tersebut akan dapat diselaikan dalam masa singkat.

Menurut beliau, kedua-dua pemilik berlainan premis ditahan pada petang Ahad di sekitar Kulai dan Pasir Gudang.

Sementara seorang lagi yang didakwa iaitu pekerja di salah sebuah premis dicekup pada pukul 12.30 tengah hari Isnin.

Kilang yang terlibat merupakan kilang proses bahan kimia di Kulai dan sebuah kilang memproses barangan lusuh di Pasir Putih.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika melawat salah sebuah kilang yang dipercayai terlibat dengan insiden pembuangan bahan kimia yang berjarak hanya kira-kira 500 meter dari lokasi pembuangan.

Menurut Ezzani, siasatan akhir kini giat dijalankan dan pertuduhan ke atas suspek akan dilakukan pada minggu ini.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 34B Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda RM500,000 dan penjara lima tahun.




BACA: Pencemaran bahan kimia: Sekolah baru dibuka, pelajar pengsan lagi