Dalam kejadian terbharu, sekitar 47,000 liter air yang tercemar dengan bahan per- dan polyfluoroalkyl (PFAS) melimpah dari Pangkalan Udara AS Yokota di barat Tokyo semasa hujan lebat pada Ogos.
Pegawai metropolitan Tokyo menerima laporan pada 3 Oktober daripada tentera AS melalui Kementerian Pertahanan Jepun, yang menyatakan "penyesalan" atas kelewatan pendedahan maklumat kerana insiden itu boleh menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran pangkalan berkenaan.
"Jika kerajaan tidak mempunyai sistem untuk memeriksa pangkalan itu, kejadian seperti ini akan terus berulang," komen seorang netizan Jepun mengenai berita berkenaan.
PFAS merangkumi lebih 10,000 bahan kimia sintetik, termasuk asid perfluorooctanesulfonik dan asid perfluorooctanoik, yang digunakan dalam produk seperti peralatan memasak tidak melekat dan pakaian kalis air.
Dalam penilaian kesihatan pertama terhadap bahan itu pada Jun, panel keselamatan makanan Jepun menyimpulkan bahawa kesan PFAS terhadap penurunan berat badan kelahiran dan pengurangan imuniti adalah "tidak dapat dinafikan", walaupun "bukti terhad" mengenai potensi PFAS untuk menyebabkan kanser.
Walaupun tahap kesan kesihatan yang disebabkan oleh PFAS masih belum difahami sepenuhnya, sebuah kumpulan rakyat pada 2022 menjalankan ujian darah ke atas 650 penduduk di wilayah Tama, yang menempatkan Pangkalan Udara Yokota dan mendapati 55 individu melebihi piawaian luar negara yang menunjukkan risiko kesihatan berdasarkan kepekatan PFAS.
Masalah pencemaran serupa juga dialami di bahagian lain Jepun, termasuk Okinawa dan Osaka, iaitu paras PFAS dalam sumber air berhampiran pangkalan tentera AS dan Pasukan Pertahanan Diri Jepun melebihi had yang dibenarkan.
Kerajaan metropolitan Tokyo meminta kerajaan Jepun untuk bertanggungjawab menyiasat perkara itu dan melaksanakan langkah untuk mengelakkan kejadian di masa hadapan.
-- BERNAMA