ALOR SETAR: Tiga sungai di negeri ini direkodkan melepasi paras bahaya dengan trend menaik setakat 10 malam ini.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu mencatatkan 22.15 meter melepasi paras bahaya 21.6 meter.

Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap merekodkan 28.68 meter melepasi paras bahaya 28.5 meter manakala Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan mencatatkan 3.95 meter melebihi paras bahaya 3.5 meter.

Beberapa sungai lagi berada pada paras amaran dan waspada dengan trend menaik antaranya Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Bata di Kubang Pasu.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata hujan lebat sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu mengalami banjir kilat, namun bilangan rumah terjejas masih dibanci.

Beliau berkata anggota APM Kubang Pasu sedang memantau Jalan Asun-Jitra yang dinaiki air sejak 3.55 petang tadi hingga menjejaskan aliran trafik.

"Anggota APM di lapangan masih membuat pemantauan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian. Tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata hujan sekejap-sekejap bermula awal pagi di daerah itu menyebabkan banyak pokok tumbang.

Beliau berkata pihaknya juga sedang memantau paras air sungai utama di Sik khususnya Sungai Chepir yang mencecah paras waspada.

-- BERNAMA