KUALA LUMPUR: Beberapa laluan utama negeri ini menuju Kuala Lumpur dilaporkan mengalami kesesakan susulan banjir kilat serta kemalangan pada Selasa.

Hujan berlarutan sejak beberapa jam mengakibatkan laluan terbabit dinaiki air sehingga menyebabkan gangguan kepada aliran trafik.

Antara laluan terlibat termasuk dua laluan utama di Selangor iaitu Kilometer 3.3 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Jalan Kuala Selangor mengalami kesesakan pada pagi ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan memaklumkan banjir kilat dilaporkan berlaku sekitar Lebuhraya Damansara Puchong.

"Menerusi laporan dikeluarkan kira-kira jam 8.16 pagi, berlakunya banjir kilat di Kilometer 4.9 -Kikometer 5.0 arah Utara dari Bandar Utama ke Penchala.

"Laluan susur serta lorong tengah dan lorong kiri laluan utama terhalang mengakibatkan kesesakan trafik," katanya

Selain itu, kesesakan turut berlaku di susur Lebuhraya Damansara-Puchong, SKVE menghala Kajang kira-kira setengah jam disebabkan kemalangan motosikal.

Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di laluan dari Aman Puteri menghala Kepong serta laluan sekitar Batu Caves mengakibatkan kesesakan hampir satu jam. - Sinar Harian