KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera ringan selepas terkena impak letupan semasa melakukan kerja-kerja pengisian gas penyaman udara di sebuah kompleks beli-belah di Chow Kit di sini kira-kira 3 petang tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 3.20 petang.

“Sepasukan tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa bersama jentera Light Fire Rescue Tender kemudian bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi tiga mangsa masing-masing seorang lelaki warga tempatan yang merupakan wakil pengurusan bangunan itu, dan dua lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai kontraktor penyaman udara didapati terkena impak daripada letupan itu, selain terdapat runtuhan siling premis di tingkat tujuh kompleks berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozihan Anwar berkata mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut dan tiada sebarang kebakaran yang berlaku, manakala operasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA