Belum sampai 24 jam tiga pusat pemindahan ditutup, daerah Raub kembali membuka tiga lagi pusat pemindahan banjir baharu bagi menempatkan seramai 81 orang daripada 14 keluarga.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang Zainal Yusoff berkata pusat pemindahan terakhir di Dewan Serbaguna Kampung Pia ditutup pada 11.50 pagi semalam, bagaimanapun pusat pemindahan baharu di Dewan Datuk Adnan Felda Tersang 1 dibuka pada pukul 7.30 malam tadi.

"Pusat pemindahan baharu itu telah menempatkan seramai 37 mangsa daripada lima keluarga manakala dua lagi pusat yang dibuka ialah Bangunan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Tersang pada 8.30 malam menempatkan 25 orang daripada enam keluarga.

"Yang terbaharu ialah Balai Raya Kampung Tersang yang mula dibuka 1 pagi tadi dan menempatkan 19 orang daripada tiga keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal berkata kesemua mangsa terbabit melibatkan penduduk dari tiga buah kampung iaitu Felda Tersang Satu, Felda Tersang Dua dan Kampung Tersang, manakala bagi daerah lain, tiada pemindahan mangsa banjir direkodkan.

Semalam, tiga pusat pemindahan yang menempatkan seramai 101 mangsa ditutup secara berperingkat yang melibatkan penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir, Kuala Temau, Ajai dan Kuala Gali.