KUALA LUMPUR: "Tidak perlu takut."

Demikian pendirian tegas pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima dalam memperjuangkan hak dan nasib rakyat Palestin yang terus berdepan kekejaman rejim Zionis Israel.

Beliau yang juga seorang pelakon berkata, situasi yang berlaku di Palestin tidak hanya melibatkan soal agama sebaliknya ia adalah hak kemanusiaan yang wajar diperjuangkan oleh semua orang tanpa mengira agama.

Sehubungan itu, Erma menggerakkan inisiatif bersama Pejabat Menteri Besar Selangor melalui penganjuran program untuk rakyat Palestin iaitu Panggilan Intifada dan Darul Ehsan Berselawat yang masing-masing dijadual pada 30 Disember (esok) dan 31 Disember.

Pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali itu menambah, program tersebut yang diadakan di Dataran Karnival, Pekarangan Stadium Shah Alam bukan sahaja untuk menunjukkan keprihatinan kepada Palestin, tetapi juga sebagai 'wake-up call' untuk masyarakat terus membantu penduduk di Gaza.

"Di mana sekarang ini semangat kita untuk membantu Gaza makin menurun dan kita berasakan semua seperti okay. Tetapi sebenarnya keadaan semakin buruk di sana.

"Kita nak ada kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa mereka (rakyat Palestin) masih lagi dalam kesengsaraan menghadapi situasi yang lebih teruk daripada sebelum ini.

"Apa yang berlaku ini adalah satu kekejaman terhadap manusia bukan hanya kerana orang Islam atau tak Islam.

"Jadi saya tidak takut pada kebenaran ini dan saya berharap kita semua bersatu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, selebriti yang terkenal dengan watak Mak Cun itu berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung bagi kedua-dua program berkenaan.

Bagi program Panggilan Intifada, Erma berkata antara pengisian menarik ialah perkongsian daripada rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza sebelum ini, Nurul Ain Haron.

"Kita juga ada solat hajat, solat Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin untuk Palestin dan akan memaparkan video-video keadaan terkini di Palestin.

"Selain itu, selebriti tanah air akan turut serta seperti Ella, kumpulan Nasyid Hijjaz, Kaka Azraff serta Ramli Sarip," ujarnya lagi.

.

Sementara itu program Darul Ehsan Berselawat pula, para ulama dan habib tersohor dari Malaysia dan Indonesia akan turut serta seperti Habib Ali Zainal Abidin.

"Kita buat doa selamat untuk negara dan pada malam itu kita ada sambutan tahun baharu dengan doa dan zikir munajat.

"Harap dalam situasi saudara-saudara kita di Palestin, kita menggunakan pendekatan lain untuk menyambut tahun baharu, dengan doa dan zikir buat mereka," kongsi Erma lagi.

Dalam perkembangan sama, Erma berkata pihaknya bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sedang dalam perancangan membina semula infrastruktur di Gaza yang dikenali sebagai kawasan 'Malaysia-Gaza'.

Jelas beliau, rancangan itu akan diusahakan sebaik sahaja pintu sempadan Gaza dibuka dengan sasaran sumbangan sekitar RM15 juta bagi membangunkan semula kawasan berkenaan.

Pada masa sama, 'Simkad Panggilan Intifada' akan turut dilancarkan esok, yang mana setiap pembelian disumbangkan sepenuhnya kepada Gaza.