Sebuah keluarga di Daerah Tawau, Sabah terpaksa hidup daif dan serba kekurangan sehingga memaksa mereka tinggal di pondok susulan kehilangan pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pada awalnya, Haimah Ismulin dan sembilan anak mereka dibawa dari Kota Kinabalu ke Tawau kerana majikan suaminya, Maudi mengendalikan projek pembinaan bangunan di daerah tersebut.

Mereka sekeluarga menumpang teduh di penempatan pekerja di tapak pembinaan sebelum diarah keluar dan mencari rumah sewa.

Bagaimanapun akibat tiada pendapatan dan gagal membayar sewa bulanan mereka sekeluarga dipaksa keluar dan akhirnya membina sebuah pondok menggunakan kanvas terpakai serta kotak sebagai tempat berteduh anak-beranak.



"Saya minta suami supaya membina sebuah pondok sahaja sebab sudah buntu, tidak tahu hendak duduk mana dan anak-anak menangis minta makanan.

"Apabila ada bertanya kenapa anak menangis, saya terpaksa memberitahu anak-anak lapar jadi mereka akan memberi makanan untuk anak-anak makan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Lebih malang lagi apabila anak bongsu yang berusia setahun itu tidak pernah berpeluang minum susu seperti bayi lain.

"Saya hanya beri anak bongsu minum air gula, sebab saya tidak mampu hendak membeli apa-apa," katanya.

Tambahnya lagi, kesemua anak-anaknya juga tidak dapat dihantar ke sekolah kerana kesempitan hidup.

"Saya selalu berdoa supaya Allah permudahkan hidup kami sekeluarga dan memberi rezeki makanan untuk anak-anak saya," katanya.
Nasib keluarga itu mendapat perhatian Persatuan Komuniti Toraja Malaysia, Tawau yang menghulurkan bantuan keperluan harian.

Timbalan Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Alex Dennis memberitahu, pihaknya akan berusaha sedaya upaya membantu keluarga itu.

"Menjadi tanggungjawab sosial kita dipersatuan untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau pun kaum agama yang lain," katanya.