SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan menganjurkan sebarang acara rasmi bagi sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dan menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini kerana suasana semasa pada hari ini menuntut untuk semua pihak sentiasa cakna terhadap situasi semasa sama ada dalam negara dan dunia.

"Ketiadaan program tersebut bukanlah bersifat menyekat sebarang aktiviti sambutan tahun baharu tetapi kerajaan negeri mahu penglibatan rakyat negeri ini untuk bersama-sama bersolidariti terhadap nasib umat Islam di Gaza dan mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

"Semoga tahun baharu 2024 ini akan memberikan kebaikan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata program yang telah dirancang sempena akhir 2023 boleh dijalankan oleh pihak penganjur lain dengan menjaga sensitiviti semasa dan memenuhi tatasusila yang ditetapkan.

Dua hari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas secara kejam oleh Israel selain menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

Sementara itu, Aminuddin berkata meskipun negeri ini tidak mencatatkan sebarang kes COVID-19 di unit rawatan rapi namun masyarakat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati apabila berada di tempat yang sesak dan peka terhadap penularan wabak itu.

Selain itu, beliau berkata rakyat juga diminta untuk sentiasa berjaga-jaga akan situasi cuaca yang tidak menentu di beberapa tempat di negeri ini yang boleh mengakibatkan banjir atau banjir kilat.

"Sekiranya terdapat amaran berkenaan banjir di kawasan anda, sila patuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diutamakan selain perlu sentiasa peka akan situasi itu dari semasa ke semasa," katanya.

Belaiu berkata kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat semasa dari agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan keadaan di Negeri Sembilan sentiasa terkawal.

-- BERNAMA