Tiada lagi alasan untuk pegawai polis Kuala Lumpur untuk tidak meningkat produktiviti kerja mereka apabila kemudahan bangunan baru Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK KL) telah siap dan diserahkan secara rasmi kepada mereka.

Ketua Polis KL, Datuk Mohmad Salleh berkata dengan penerimaan secara rasmi bangunan baru yang merupakan bangunan tambahan kepada bangunan yang sedia ada itu, isu ketidakcukupan ruang pejabat akan selesai.

polis
BARU: Tiada lagi masalah kekurangan ruang pejabat bagi pegawai polis KL apabila bangunan baru IPK KL telah siap untuk diduduki. Gambar: Astro AWANI/SHAHIR OMAR

"Sebelum ini, banyak pegawai merungut akan ruang pejabat yang tidak cukup, tidak selesa, tidak meyakinkan dan sebagainya namun dengan adanya bangunan baru ini ditambah dengan ruang pejabat yang selesa dan persekitaran kerja yang baik, saya mahu lihat 'result' (hasil) prestasi produktiviti mereka meningkat," Mohmad memberitahu sidang media yang berlangsung selepas Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis KL yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis KL disini pagi tadi.

“Ruang dan persekitaran tempat kerja juga adalah antara faktor mustahak untuk menetukan produktiviti kerja."

Tambah beliau, bangunan itu akan mula diduduki dalam sedikit masa lagi setelah kerja-kerja pembersihan ruang-ruang pejabat itu selesai.

Bangunan 13 tingkat yang dibina pada November 2008 dengan kos anggaran RM140 juta itu telah siap dan memeperoleh Sijil Layak Menduduki pada bulan Februari lalu.

Bangunan yang mempunyai keluasan lantai sebanyak 22,000 meter persegi itu adalah bangunan tambahan kepada bangunan yang sedia ada dan akan menempatkan beberapa jabatan dalam perkhidmatan polis KL seperti Pejabat Ketua dan Timbalan Polis, Jabatan Ketenteraman Awam, Jabatan Logistik dan Jabatan Pengurusan.

Hanya Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang akan kekal di bangunan lama.

Sementara itu dalam majlis yang lain pula, Mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon telah memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis KL yang baru, menggantikan Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Law menggantikan Amar Singh yang berpindah ke Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan).

Law yang dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 36 tahun bermula pada 1978.

polis
GEMBIRA: Law (kiri) kini akan mengambil alih tugas sebagai Timbalan Ketua Polis KL daripada Amar Singh (kanan).
Dua jawatan tertinggi yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Komander Briged Pasukan Gerakam Am Sarawak dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.