KUALA LUMPUR: Polis tidak menemukan sebarang kesalahan jenayah dalam siasatan kes kebocoran klip audio yang dikaitkan dengan Wisma Putra.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim pada sidang media di sini hari ini berkata berikutan itu, pihaknya menyerahkan semula kes tersebut kepada Kementerian Luar Negeri untuk siasatan dalaman.

Baru-baru ini, tular menerusi media sosial rakaman perbualan seorang lelaki berkaitan Kementerian Luar Negeri yang disampaikan kepada seorang wanita bergelar 'Datin'.

BACA: Audio tular kepada 'Datin': Wisma Putra jalankan siasatan dalaman

BACA: Individu di sebalik audio tular kepada "Datin" dikenal pasti - Wisma Putra

Diminta mengulas isu 'PASLeaks', Azmi berkata pihaknya tidak akan memanggil ahli politik yang dinamakan dalam dokumen yang tular itu kerana kertas siasatan baru saja dibuka untuk menentukan sama ada terdapat kesalahan dilakukan.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkenaan termasuk pengadu.

Jumaat lepas, Naib Presiden PAS Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat parti itu adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata polis berjaya menemukan 26 kereta mewah pelbagai jenama yang dicuri di beberapa negeri susulan satu laporan kecurian sebuah kereta di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Disember lepas.

Beliau berkata kesemua kereta itu terdiri daripada 12 Toyota Vellfire, Honda (lima), BMW dan Mercedes-Benz masing-masing tiga, Mazda (dua) dan Ford Ranger (satu) yang keseluruhannya dianggar bernilai RM3 juta.

Susulan itu, polis turut menahan sembilan lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di beberapa negeri yang dipercayai terlibat dalam kumpulan curi kenderaan.

Mengenai modus operandi kumpulan itu, Azmi berkata mereka mencari maklumat mengenai kereta yang telah dilupus daripada syarikat-syarikat insurans.

"Selepas maklumat itu diperoleh, kumpulan berkenaan akan menggunakan identiti kenderaan yang dilupuskan dan digunakan pada kenderaan yang telah dicuri," katanya.

-- BERNAMA