Bank Rakyat tidak pernah memberikan pinjaman tanpa faedah kepada mana-mana pihak termasuk kononnya kepada seorang ahli perniagaan melalui arahan dan campur tangan menteri kabinet.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana Bank Rakyat sama sekali tidak akan memberi pinjaman kepada mana-mana individu tanpa mengira kadar keuntungan terlebih dahulu.

Beliau juga menjelaskan tiada istilah 'individu istimewa' atau 'individu anugerah tuhan' bagi merujuk dakwaan kononnya bank itu memberi pinjaman tanpa faedah kepada individu tertentu.

"Selaku institusi kewangan semua pinjaman akan diberi kiraan faktor keuntungan, tidak timbul soal bayaran semula pinjaman yang sama nilainya.

"Kalau ada mana-mana individu atau khabar angin kononnya ada orang istimewa tertentu dapat faedah, orang itu terkeliru dengan penstrukturan pembayaran semula pokok atau baki pinjaman," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Isu tersebut dibangkitkan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mendakwa Bank Rakyat meluluskan pinjaman RM32 juta tanpa faedah kepada seorang ahli perniagaan.

Malah, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 31 Mei lepas mendapati tiada unsur rasuah dikesan berkaitan isu pinjaman tersebut.

Ahmad berkata adalah menjadi amalan biasa kepada sesebuah bank untuk menjalankan penstrukturan pinjaman bagi mendapatkan semula bayaran terutama kepada mana-mana pinjaman yang diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar.

"Kenapa bank lakukan penstrukturan kerana bank bertanggungjawab terhadap pemegang saham dan dalam satu proses penstrukturan bank bertanggungjawab memastikan sebarang pinjaman dan urusniaga yang dibuat mempunyai pulangan laba yang terbaik berdasarkan keadaan tertentu.

"Sebagai contoh bank perlu mengambil kira sekiranya tindakan undang-undang diambil dan harta peminjam dan peniagaan dilelong adakah ia mampu mendapatkan semula jumlah kos pinjaman yang telah diberikan atau adakah dengan membuat peminjam muflis ia akan menguntungkan bank secara keseluruhan," katanya.

Berhubung dakwaan kononnya ahli perniagaan berkenaan turut menggunakan cek tarikh tertunda sebagai penyelesaian mudah dalam membayar baki pinjamannya Ahmad berkata walau apa pun kaedahnya, apa yang penting adalah peminjam membuat pembayaran.

"Tidak kisahlah post dated cheque atau cash atau potong gaji yang penting dia mesti bayar, kalau gagal bayar atau post dated cheque tidak sah atau gagal atau kena tendang Bank Rakyat akan ambil tindakan undang-undang bukan peminjam lepas lari macam itu sahaja," katanya.

Sementara itu, Ahmad (BN-Pontian) berkata punca utama kegiatan penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi adalah disebabkan margin harga bahan bakar itu yang jauh lebih murah berbanding negara-negara jiran.

Beliau berkata, sebagai contoh, harga diesel di negara ini ialah RM2 seliter berbanding di Singapura (RM4.46), Indonesia (RM3.38), Thailand (RM3.04) dan Filipina (RM4.39) bagi jumlah yang sama.

Katanya, jualan petrol RON95 seliter di Malaysia pula RM2.10 manakala di Singapura (RM5.81), Indonesia (RM3.16), Thailand (RM4.91) dan Filipina (RM5.40).

"Perbezaan harga ini menyebabkan ketirisan itu. Kerajaan mengambil berat dengan penyelewengan yang berlaku ketika ini. Kaedah penyelesaiannya sedang diteliti dan akan diumumkan apabila tiba masanya," kata Ahmad.

Berhubung cadangan supaya menyelaraskan harga diesel mengikut harga pasaran, beliau berkata, kerajaan mengambil maklum perkara itu namun kajian teliti dan komprehensif perlu dilakukan bagi mengelakkan kesan buruk.

Katanya, kerajaan juga prihatin terhadap keperluan mewujudkan mekanisme program subsidi yang lebih bersasar bagi memastikan perbelanjaan yang lebih berhemah dan produktif.

"Dalam mempertimbangkan mekanisme bersesuaian, kerajaan perlu melakukan kajian teliti supaya tidak menjejaskan ekonomi rakyat dan negara," katanya.