KOTA BHARU: Tiada ahli Pas Kelantan terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd atau Al-Arqam, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata Pas dan Al-Arqam merupakan dua entiti yang berbeza.

"Ya, saya mengesahkan tiada ahli Pas yang terlibat dengan kedua-dua kumpulan," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata kerajaan menyerahkan semua perkara berkaitan GISB kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan perlu diambil jika terbukti ia melanggar peraturan daripada sudut agama.

"Buat masa ini, kita serah kepada polis, MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) dan JHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan)," katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang ditemui pada istiadat itu berkata tiada keperluan untuk mewujudkan fatwa baharu berkaitan GISB kecuali terdapat elemen lain yang ditemui pihak berkuasa.

Beliau berkata fatwa mengenai ajaran sesat yang digunakan semasa mengisytiharkan Al-Arqam sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 masih lagi relevan untuk diguna pakai jika terbukti perkara yang sama berlaku dalam GISB.

PDRM melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA