Di sebalik deretan bas yang ada di bahagian parkir, tersembunyi terowong pejalan kaki yang ada di situ seolah-olah sudah 'terkubur' tanpa jejak.
Jika diamati, terdapat laluan tangga di seberang jalan, yang dahulunya menjadi lokasi bagi stesen bas ekspres, di situ pengunjung boleh turun dan melihat keadaan laluan dalam terowong.
Namun sayang sekali apabila keadaan di situ kini sangat kotor, tidak terjaga dan dipenuhi sampah sarap selain tidak lagi digunakan dan ditutup bagi tujuan keselamatan.
Tinjauan ke stesen bas Medan Kidd menemukan penulis kepada bahagian terowong lain, yang menjadi penghubung laluan di seberang jalan, dan seperti dijangka ia juga sudah diliputi semak samun dan ditutup.
Ada banyak kisah tentang terowong tersebut, yang dahulunya menjadi laluan utama bagi pelajar dan orang ramai untuk ke seberang jalan dan sekolah berdekatan.
Menurut salah seorang penduduk Ipoh, Rajan, 63, laluan itu dahulunya memang sibuk dengan aktiviti orang ramai, tetapi lama kelamaan ditutup demi keselamatan ramai.
"Tahun 80-90-an memang ramai yang jadikan ia sebagai laluan untuk ke seberang, tidak perlu lintas jalan sebab agak bahaya. Khususnya pelajar sekolah ACS.
"Keadaan waktu itu tidaklah begitu bersih, ada juga gelandangan dan orang melepak waktu malam," katanya yang menjual kacang putih di stesen bas berkenaan.
Sementara itu, salah seorang peniaga yang terkenal dengan menu Mi Tikus di stesen bas berkenaan, Redzuan Ooi Abdullah,50, berkata dahulu terowong itu sinonim dengan pelajar sekolah.
Dia yang sudah menjalankan perniagaan hampir 15 tahun di situ juga menjelaskan keadaan laluan itu sebelum ini agak sunyi dan lama kelamaan ditutup.
"Dalam tahun 2000 terowong itu ditutup, dulu waktu saya masih sekolah rendah, situ memang saya tengok jadi 'port' pelajar lepak atau ponteng," katanya.
Sementara itu pengguna perkhidmatan bas, Nur Aqilah Mohd Rizar, 19, berkata dia sering menaiki bas dari stesen bas itu untuk ke Kuala Kangsar.
Dia yang juga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkata walaupun suasana di situ masih 'lama' tetapi baginya perkhidmatan bas masih berjalan dengan baik.
"Saya tinggal di Seri Kinta dan lebih dekat naik bas dari sini berbanding di Meru Raya. Saya selalu berulang alik ke USAS dari sini dan setakat ini alhamdulillah perkhidmatan berjalan lancar," katanya.
Sementara itu menurut sumber, lokasi tersebut pernah meriah dengan aktiviti harian seperti busking.
Difahamkan terowong itu memudahkan pejalan kaki dari Medan Kidd ke stesen bas susulan pada awal tahun 90-an wujud terminal bas ekspres berhampiran medan selera yang ada sekarang.
Manakala stesen bas di sini dahulu dijadikan sebagai stesen bas antara bandar.
Jika sesuai laluan itu wajar ditonjolkan semula dan dijadikan salah satu lokasi menarik bagi orang ramai memandangkan banyak nostalgia di kawasan tersebut.
Mungkin pihak yang berkenaan boleh mengambil inisiatif membersih atau membuka semula kawasan itu yang disifatkan unik dan masih relevan untuk digunakan.
Apa pun banyak lokasi di bandar raya ini yang berpotensi dibangunkan dan dijadikan tempat tumpuan pelancong, inisiatif dan usaha perlu digerakkan bagi memastikan ia bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.