JELI:Walaupun berdepan dengan kekangan masa dan waktu kecemasan dalam menjalankan tugas menyelamat dan memadamkan kebakaran, anggota Bomba dan Penyelamat masih mampu memanaafkan ruang yang ada untuk kerja-kerja komuniti.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli atas inisiatif sendiri membina ruang di kawasan balai sebagai pusat komuniti ternakan rusa.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, projek pertanian komuniti dalam balai ini merupakan inisiatif beliau bagi tujuan memupuk kesedaran dan kepentingan industri ternakan dan makanan.

"Satu bentuk projek yang berkonsepkan pertanian komuniti di Balai Bomba Jeli, yang terletak di kawasan pedalaman Kelantan ini, untuk memupuk kesedaran dan juga sabagai satu bahan tarikan kepada pengunjung ke balai ini" katanya kepada Astro AWANI.

"Projek ternakan rusa ini dimulakan pada penghujung tahun lepas dengan permulaannya seekor rusa jantan dan tiga rusa betina" katanya.


Projek komuniti ini diadakan untuk memupuk kesedaran dan juga sabagai satu bahan tarikan kepada pengunjung ke balai bomba. - JBPM Jeli

Rusa berkenaan diperolehi daripada pembiakan dan juga sumbangan Jabatan Veterinar daerah Jeli.

Mohd Adni menjelaskan, hasil usaha sama dan bimbingan serta peralatan dari Jabatan Veterinar, projek ini dapat dijalankan dalam balai Bomba Jeli bahkan beliau sendiri menjadi pegawai veterinar balai bagi memberi semangat kepada ahli Bomba yang lain.

Penjagaan dan pemakanan rusa ini djaga oleh ahli bomba secara bergilir-gilir manakala sumber makanannya diperolehi daripada rumput dan sumber berdekatan.

Pemeliharaan rusa memerlukan kemahiran dan penjagaan yang berterusan bagi memastikan ternakan berkenaan tidak terdedah kepada penyakit dan ancaman.

Mohd Adni memaklumkan rusa berkenaan berusia lebih 2 tahun dan belum diberikan sebarang nama panggilan.

Selain ternakan rusa, anggota bomba Jeli turut memelihara ikan di kolam dalam balai dan menanam pelbagai jenis sayuran di ruang kawasan dalam balai berkenaan.


Selain rusa, anggota bomba turut memeliharan ikan di kolam dalam balai. - JBPM Jeli


Bukan sahaja rusa, pihaknya juga turut membina sangkar burung bagi menempatkan sebahagian burung yang ditemui atau diperolehi semasa menjalankan tugas di luar.