KUALA LUMPUR: Akibat terdesak berhutang dengan sindiket peminjam wang 'Ah Long' seorang lelaki nekad mencuri wang dengan membakar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Wangsa Melawati, ibu negara, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, pihaknya menerima laporan orang awam mengenai mesin ATM tersebut dibakar dan terdapat kesan cubaan menebuk lubang untuk mencuri wang.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga memaparkan kelibat seorang suspek telah menasuki dan membakar mesin berkenaan menggunakan tong bahan api namun cubaannya gagal.

"Bertindak melalui maklumat risikan, polis telah berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 25 tahun dan merampas barangan kes seperti pakaian digunakan semasa kejadian, tong bahan api dan kenderaan yang digunakan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ashari berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat dengan api) dan Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan (Cuba curi).

Suspek telah ditahan reman selama tiga hari mulai 26 hingga 28 Oktober 2022.

"Siasatan masih berjalan dan kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

"Pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang," ujarnya.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.