SEOUL: Kerjasama perniagaan dan perdagangan Malaysia-Korea Selatan diperkukuh dengan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan dengan agensi serta firma tempatan di sini hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang turut disertai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

MoU pertama melibatkan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), diwakiili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, dan Pertubuhan Pengimport Korea (KOIMA), yang diwakili oleh Naib Presiden Kwon Ki Chang, dalam bidang kerjasama perdagangan dalam bentuk pertukaran maklumat dan membantu aktiviti eksport kedua-dua negara.

Ia diikuti oleh MoU antara MIMOS Berhad, diwakili oleh Pemangku Presiden dan CEO, Dr. Saar Shukri Embong dan SDT Inc., yang diwakili CEO Jiwon Yune dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Ohyong Kwon, dalam bidang kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi informasi dan komunikasi serta elektronik mikro.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada komitmen penubuhan pusat komputer quantum pertama di Malaysia, mempromosikan lembah quantum Malaysia untuk menarik pelaburan dan meneroka bidang kerjasama antara kedua-dua negara untuk mengembangkan ekonomi quantum global.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohammad Salim Fateh Din dan Agensi Internet dan Keselamatan Korea (KISA), diwakili oleh Presiden Lee Sang Jung dalam bidang kerjasama memperkukuh pertukaran pengetahuan, kemahiran dan amalan terbaik berkaitan rangkaian keselamatan informasi dan komunikasi kedua-dua negara.

Pertubuhan Bandar Mampan & Pintar Malaysia (MSCA), diwakili Pengerusi Ts. Dr. Raslan Ahamd dan Bumhan Fuel Cell, diwakili Presiden Hwang Jung Tae, dalam bidang kerjasama nasihat teknikal dan bukan teknikal serta perkongsian pengetahun mengenai pembangunan bandar berteraskan hidrogen dan bandar pintar.

Kerjasama ini melibatkan latihan dan pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan mengendalikan demonstrasi projek industri hidrogen. Kerjasama ini menurut MITI bernilai RM15 juta.

Majlis ini diadakan di luar jadual rasmi lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan yang berakhir pada Selasa.