KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kerajaan negeri menambah baik langkah sedia ada bagi mewujudkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia di Pahang.

Baginda bertitah kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta mampu menyediakan persekitaran kondusif melalui kemudahan infrastruktur dan pembukaan peluang pemasaran kepada belia supaya dapat memasarkan produk serta perkhidmatan mereka di dalam dan luar negeri.

"Bantulah mereka dengan latihan dan keperluan yang bersesuaian. Saya percaya ramai belia terutama graduan berminat untuk menjadi usahawan.

"Bagaimanapun, semangat itu tidak kesampaian kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman serta kemampuan dari segi modal yang tidak mencukupi," titah baginda pada Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal juga bertitah langkah kerajaan negeri memperkenal aplikasi PahangGo merupakan satu usaha yang sangat baik.

"Saya berharap inisiatif itu dapat ditambah nilai agar ia menjadi platform untuk usahawan terutama golongan belia memasarkan produk mereka dan seterusnya boleh mendapatkan pelbagai akses perkhidmatan kerajaan negeri dengan cepat," titah baginda.

Tengku Hassanal juga menasihati golongan belia supaya mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak mudah rapuh serta meningkatkan budaya berpersatuan.

"Menerusi usaha ini, ia bukan sahaja dapat menyemai nilai dan jati diri malah berupaya merapatkan barisan dan mengukuhkan kesatuan dalam kalangan para belia di seluruh negeri.

"Sehubungan itu, saya bertitah supaya kerajaan saya menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi membolehkan golongan belia di Pahang dapat terus aktif mengadakan pelbagai program dan aktiviti," titah baginda sambil menambah belia juga perlu sentiasa positif untuk menjadi warganegara yang berjasa.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Belia Negara kepada Pengerusi Gabungan Majlis Belia Felda Malaysia Daerah Bentong Mohammad Izzuddin Hamzah, 31, (kategori individu lelaki) dan Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pahang Normarina Misuari Baharodin, 23 (kategori individu wanita).

-- BERNAMA