HATI ibu mana yang tidak girang menerima perkhabaran anak yang dikasihi sudah selesai pengajian dan bakal kembali ke tanah air untuk bersama keluarga.

Demikian juga perasaan yang barangkali sedang dirasakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika ini.

Putera yang dikasihi, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang menjalani kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom bakal kembali ke tanah air tidak lama lagi.

Khabar gembira itu dikongsi bondanya, Tunku Azizah dalam akaun Twitter peribadi baginda pada Selasa yang disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan oleh rakyat jelata.

Tunku Azizah turut memaklumkan, baginda bersama Yang di-Pertuan Agong juga akan menghadiri majlis perarakan pentauliahan Tengku Hassanal di Sandhurst pada 13 Disember ini. - Gambar Instagram

Menurut Raja Permaisuri Agong dalam entri berkenaan, Tengku Hassanal bakal menamatkan kursus ketenteraan pada 13 Disember ini.

Sekembali ke Malaysia, Tengku Hassanal, titah baginda akan berkhidmat di Rejimen 12 Askar Melayu Diraja, Kuantan, Pahang.

Tunku Azizah turut memaklumkan, baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis perarakan pentauliahan Tengku Hassanal di Sandhurst pada 13 Disember.

Tengku Hassanal yang menamatkan pengajian dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dalam bidang hubungan antarabangsa dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 31 Januari lepas selepas ayahandanya memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda mengikuti kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst selama setahun.

Royal Military Academy Sandhurst atau Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst merupakan pusat latihan tentera tersohor dunia.

Sejak berdekad lalu, sebilangan anak-anak raja Melayu dilatih dan dibimbing di akademi berkenaan.

BACA: Tengku Hassanal dimasyhur Tengku Mahkota, Pemangku Raja Pahang

B
ACA: Kenali putera-putera raja Pahang yang tampan