Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa malu beliau terhadap golongan yang kurang mengambil berat tentang nilai sivik di negara ini.

Ujarnya, pemeriksaan mengejut di tandas awam yang dilakukannya sendiri mendapati masih wujud tindakan sesetengah individu atau masyarakat yang menjadi punca kepada ketidakselesaan masyarakat setempat terutama dalam isu tandas kotor dan vandalisme.

“Kita selalu suarakan perasaan tidak senang kalau ada tandas awam dalam keadaan tidak baik sama sekali. Kalau pergi negara tertentu tandas mereka amat bersih kerana penggunanya tidak mengotorkan tandas itu kerana berasa bertanggungjawab menghargai pandangan masyarakat terhadap dirinya jadi dia tidak lakukan sesuatu mengotorkan.

“Tandas-tandas di Malaysia, saya amat malu kerana seringkali buat pemeriksaan tandas di Malaysia biasanya tidak bersih dan busuk. Itu mencerminkan sifat ada pada kita sepatutnya kita berasa malu tapi kita berpendapat yang tidak ada orang tahu siapa disebabkan tiada tanggungjawab sivik dalam hati kita,” jelas beliau ketika melancarkan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.


Tidak terhenti di situ sahaja , Perdana Menteri berkata masalah sampah yang dibuang merata juga amat serius dalam kalangan masyarakat.

Tambah Perdana Menteri, jika kesedaran sivik tidak diterapkan maka ia akan membawa masalah kepada negara selain mencerminkan imej Malaysia.

“Sekarang ini kita lihat sampah di sekeliling kita ini menjadi masalah. Kalau kawasan itu kecil penduduk, 10 orang dia buat sampah sedikit tapi dalam bandar Kuala Lumpur tiga juta penduduk apabila buang puntung rokok dalam sedikit masa kita akan hidup diatas gunung rokok yang dibuang.

“Sekarang ini sampah dibuang merata tempat dan kita tidak dapat kebersihan yang kita idamkan bila kita hendak keadaan bersih tetapi kita kotorkan buang sampah tanpa mengambil kira tempat dan cara sepatutnya dilakukan,” ujar Tun Mahathir lagi.

Kecurian air, elektrik serta kemudahan awam oleh golongan berkenaan juga perlu dihentikan.

Semuanya bergantung kepada nilai sivik yang diterapkan dalam kalangan masyarakat seperti yang diamalkan oleh rakyat di negara Jepun.

“Kalau amalan sivik ini ditanam dalam kalangan anak, maka bila besar mereka tidak akan lakukan benda yang buruk disekeliling kita dalam masyarakat di bandar,” jelas Tun Mahathir.