IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan runtuhan tanah di Seksyen 27,  Simpang Pulai - Cameron Highlands diteruskan dengan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).

Operasi diteruskan bagi mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa atau kenderaan lain yang terperangkap.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi yang disambung semula dengan kerja-kerja pembersihan.

“Sekiranya dah selesai kerja pembersihan, kita akan gerakkan Unit K9 yang mana kita mungkin akan gerakkan dua kali.

“Kita buat kerja-kerja pencarian kali pertama, bila tak ada, keputusannya negatif, lepas itu seterusnya kita akan membuat kerja pembersihan sekali lagi, lepas tu baru kita akan buat kerja-kerja untuk pengesahan kali kedua.

“Sekiranya pengesahan kali kedua tu menunjukkan negatif, maka nanti kita akan buat keputusan sama ada kita nak teruskan atau pun kita tamatkan saja operasi ini,” katanya.

Beliau ditemui di lokasi tanah runtuh pada Jumaat.

BACA: Tanah runtuh Simpang Pulai: Mayat terakhir dibawa keluar, polis sah 2 mangsa terkorban

Tanah Runtuh | Dua kenderaan tertimbus, dua maut
Operasi hari kedua bermula jam 8 pagi itu melibatkan khidmat dua anjing pengesan dengan kekuatan 139 anggota termasuk jabatan dan agensi penyelamat lain.

Cuaca hujan sedikit mengganggu operasi mencari dan menyelamat dijalankan kerana dikhuatiri berlakunya pergerakan tanah dan runtuhan.

[TERKINI] Perkembangan tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands


Menurut Muhamad Shahrizal lagi, runtuhan setinggi antara lima ke tujuh meter turut menyukarkan anjing pengesan mengesan mangsa yang tertimbus.

Setakat ini dua mangsa maut tertimbus yang ditemui iaitu Muhammad Hafiz Hamdi, 31,dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.