AMPANG: Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari hadir bagi meninjau lokasi tanah runtuh di lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati, di sini, pagi ini.

Beliau turut menyantuni penduduk terjejas melibatkan 23 mangsa daripada tujuh keluarga yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Jalan E5.

Salah sorang penduduk, Mohd Hanif Ahmad Safran, berterima kasih atas kehadiran dan sumbangan disampaikan Amirudin di PPS tersebut.

“Saya berterima kasih kepada beliau yang meluangkan masa berjumpa kami yang terkesan. Alhamdulillah, atas sumbangan diberikan dapat kami guna pakai apabila pulang ke rumah nanti.

"Kebajikan kami di sini juga dijaga sangat baik,” katanya.

Mohd Hanif ketika ditemui di PPS hari ini. - Foto Astro AWANI

Seorang lagi penduduk Shamsul Bahrin Mokri berharap kejadian tanah runtuh di kawasan perumahannya tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Rumah saya kedudukannya di hujung sekali, bimbang itu pasti ada. Saya harap lepas ini tak ada lagi insiden begini. Kami risau, tetapi Alhamdulillah saya dan keluarga semua dalam keadaan selamat.

“Terima kasih Menteri Besar datang jenguk kami di sini. Dapat sumbangan wang tunai dan juga makanan. Saya harap pihak berwajib jalankan tanggungjawab dengan baik, dapat kami balik rumah secepat mungkin,” katanya. 

Shamsul Bahrin bersama ahli keluarganya ketika ditemui di PPS hari ini. - Foto Astro AWANI

Semalam, AWANI melaporkan hujan lebat sejak awal pagi mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Hulu Klang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail, kejadian itu menyebabkan 20 unit rumah teres terputus laluan utama.

Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR