Jeremy Chew, 49, yang juga ahli perniagaan hadir bertugas di lokasi operasi seawal jam 3 pagi bersama anggota penyelamat yang lain untuk bertugas di lokasi pencarian.
Katanya, pergerakan di lokasi agak sukar memandangkan keadaan tanah bercampur selut dan pasir yang dikorek oleh jengkaut, menyebabkan badan boleh tertimbus hingga ke paras pinggang jika tidak berhati hati.
Beliau bersama rakannya Ng Choon Heng, 40, berharap operasi itu dapat selesai dengan segera dan berjaya mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan tanah.
"Saya berasa sedih apabila melihat sendiri suasana hiba jiran yang kehilangan anak akibat tragedi yang berlaku.
"Malah terbayang sekiranya suasana sedih ini berlaku kepada ahli keluarga," ujarnya.
Jeremy turut sama membantu apa yang termampu setidak-tidaknya berusaha untuk mencari mangsa sehingga selesai.
Insiden tanah runtuh di jalan Batang Kali- Getting Highlands yang turut memusnahkan sebahagian tapak perkhemahan Father’s of Organics Jumaat lalu mengorbankan 26 mangsa setakat ini.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ke-26 lelaki dewasa ditemukan