HULU SELANGOR: Sepuluh agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Batang Kali dekat sini pada 16 Dis tahun lepas diraikan dalam satu majlis penghargaan khas malam tadi.

Antaranya ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia.

Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Dr N. Sathia Prakash berkata majlis anjuran Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dengan kerjasama waris keluarga mangsa itu adalah sesuatu yang kecil jika dibandingkan dengan jasa pasukan SAR yang terlibat.

"Saya ada masa hari pertama operasi SAR dan beberapa hari lagi di sana, dan ini adalah sesuatu yang orang luar tidak akan tahu dan faham kerana tidak berada di lokasi kejadian. Memang secara psikososialnya, saya tahu anggota SAR ini sedih namun mereka tetap melakukan yang terbaik.

"Bagi saya, tanpa mereka kita tidak mungkin mampu melakukannya (mengesan kesemua mangsa tragedi) dalam tempoh sembilan hari terutamanya mangsa terakhir yang ditemukan hanya sehari sebelum perayaan Krismas. Ia adalah sesuatu yang amat kritikal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis itu.

Menyifatkan kerjasama semua pihak terlibat termasuk badan bukan kerajaan, sukarelawan dan pengamal media, beliau berkata operasi SAR tragedi yang meragut 31 nyawa itu adalah bukti kerja berpasukan yang baik dalam sejarah negara.

"Oleh itu, kita ambil keputusan untuk anjurkan majlis malam ini (tadi) untuk berjumpa semua yang terlibat dan berterima kasih kepada mereka. Ini juga bukti bagi menunjukkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia, kita tidak memilih bulu. Kita di sana untuk semua sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru Kamil Hamadan pula berkata pasukannya yang merupakan antara responder pertama dalam tragedi awal pagi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm itu kini sudah tidak terjejas baik dari sudut emosi dan psikologi.

"Memang pada mulanya mereka akan terkesan terutama apabila melibatkan jumlah mangsa yang besar. Bagaimanapun, itu adalah lumrah kepada tugas kami memandangkan kami setiap hari berhadapan situasi kecemasan.

"Alhamdulillah, kini kebanyakan anggota yang terlibat sihat dan baik keadaan emosi dan psikologi mereka. Menerusi operasi SAR ini juga kami dapat bangunkan keyakinan dan kemahiran mereka untuk mengatasi tekanan mental dan fizikal," katanya yang berterima kasih dengan penghargaan kepada agensi penyelamat pada majlis itu.

Tragedi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya itu telah meragut 31 nyawa termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun manakala 61 lagi terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat.

-- BERNAMA