HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap tiga lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor diteruskan pada jam 8 pagi Khamis.

Setakat ini, operasi melibatkan 128 anggota pelbagai agensi, dibantu 11 jengkaut tanah dan tujuh anjing pengesan K9.

Namun, menerusi pemerhatian Astro AWANI, usaha pencarian pada Khamis dijangka berdepan kesukaran  atas faktor cuaca. 

Walaubagaimanapun, keadaan cuaca hari ini sukar diramal, cuaca mendung dan hujan renyai sekali-sekala melanda lokasi tragedi tanah runtuh berkenaan.

Setakat 2.15 petang (Khamis), hujan lebat mula turun di lokasi insiden, ini sekaligus menyukarkan usaha pencarian terhadap tiga lagi mangsa yang hilang.

Beberapa ahli pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain turut dilihat keluar dari lokasi insiden.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada operasi SAR diteruskan atau pun ditangguh sementara atas faktor cuaca.


LAPORAN KOMPREHENSIF TRAGEDI TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI

Batang Kali tanah runtuh

Menurut ramalan Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia), cuaca baik dijangka di sebelah pagi, bagaimanapun pada sebelah petang dijangka ribut petir di beberapa kawasan di daerah Hulu Selangor.

Ketika ini, pasukan SAR tertumpu di sektor C dan A dipercayai lokasi tiga lagi baki mangsa yang masih belum dijumpai.