KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan bantuan sukarelawan dan makanan kepada pasukan penyelamat yang terlibat dalam mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi tadi.

"Bantuan diberikan serta-merta bagi membantu kelancaran operasi pasukan penyelamat mencari dan menyelamat mangsa yang masih belum ditemui," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada pemberita selepas merasmikan Ops Terjah KPDN di sini hari ini.

Maklumat awal pihak polis menyebut terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.

Berdasarkan laporan sehingga 11 pagi, 60 orang dilaporkan selamat manakala sembilan mangsa terkorban dalam insiden itu.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat.

"Kita berdoa semoga pasukan penyelamat akan dapat menjalankan tugas mereka dan mudah-mudahan mereka yang terperangkap akan dapat diselamatkan," kata Salahuddin.

-- BERNAMA