Speaker DUN Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid bagi pihak Dewan Negeri menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kejadian sebelum memulakan persidangan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
"Ia satu tragedi luar jangka dan turut dirasai seluruh negara. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
"Dewan ingin zahirkan penghargaan kepada setiap anggota keselamatan dan petugas yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa," katanya sebelum meminta seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam untuk menyedekahkan Al-Fatihah, manakala mereka yang bukan beragama Islam untuk sama-sama bertafakur seketika.
Tragedi tanah runtuh pada pukul 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan berkenaan setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 25 terkorban dan lapan lagi masih hilang.
-- BERNAMA