Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif memaklumkan, fokus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus terarah pada usaha mencari mangsa sehingga ditemui.
“DBKL bekerjasama dengan seluruh pasukan SAR antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya, Agensi Nuklear Malaysia serta pihak Indah Water Konsortium (IWK).
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan SAR yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua petugas terus diberikan kesihatan yang baik dan usaha ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesan halangan berupa objek yang tersekat antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.
Operasi dengan kaedah selaman dilakukan pada jam 3 pagi melibatkan lapan penyelam.
Bagaimanapun, anggota yang melakukan selaman berdepan kesukaran dan tidak dapat menghampiri lokasi tersebut disebabkan keadaan arus air dalam lurang kumbahan itu.