KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat telah menjalankan kerja-kerja penyanggaan (shoring) secara manual bagi mencari wanita warga India, Vijayaletchumy, yang terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, minggu lepas.

Menerusi kenyataan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis, kerja penyanggaan itu dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, pihak Indah Water Konsortium (IWK) pula sedang melaksanakan kerja mengepam air keluar dari lurang kumbahan.

Tindakan itu dibuat bagi mengurangkan tekanan air serta risiko bagi membolehkan pasukan penyelam menjalankan pemeriksaan secara fizikal di dalam lurang kumbahan.

Sementara itu, pasukan penyelamat masih sibuk dengan operasi SAR bagi mencari wanita berkenaan di Jalan Masjid India.

Setakat jam 11.30 malam tadi, difahamkan pasukan penyelamat sudah beberapa kali masuk ke lurang kumbahan bagi mencari mangsa.

Selain itu, sebuah kren juga dilihat tiba di lokasi kejadian namun belum dapat dipastikan sebab utama kren itu berada di lokasi tersebut.