KUALA LUMPUR : Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah diatur gerak memasuki saluran atau ‘chamber’ kumbahan bagi meneruskan pencarian wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di kawasan Masjid India, di sini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, dua unit penyelam dikerah memasuki jajaran terowong kumbahan seluas 1.5 diameter, kerana dipercayai mangsa berkemungkinan dibawa arus ke saluran tersebut.

Jelas beliau, pasukan penyelamat telah menggunakan Unit Anjing Pengesan K9 dalam operasi siang tadi, namun belum dapat mengesan lokasi sebenar mangsa.

“Kita sebenarnya fokus di sini (kawasan mangsa terjatuh) dulu sebab ini kawasan hilangnya.

“Sekiranya mangsa termasuk ke dalam saluran, mungkin kita kena berhubung dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) sebab saluran ini berdasarkan aliran graviti.

“Jadi kita kena berhubung dengan IWK, di mana perangkap-perangkap tertentu, yang mungkin ada kemungkinan (mangsa berada) di situ.

“Saluran ini berakhir di satu loji di Lembah Pantai,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Jumaat malam.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Jelas Nordin, pasukan SAR yang terdiri daripada pelbagai agensi telah melakukan korekan sedalam 10 meter di sekeliling saluran berkenaan.

“Saluran (kumbahan) ini kawasan tertutup dan ada binaan konkrit. Ia adalah tertutup dan solid konkrit.

“Cuma sekarang ini ada sedikit pecahan atau serpihan yang membolehkan air keluar dan di situ mungkin ada lubang masuk.

“Jadi kita nak buat (pencarian) sama ada lubang itu boleh masuk dan kemungkinan kita boleh jumpa apa-apa di situ,” ujar beliau.

Terdahulu, JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melibatkan kejadian tersebut sekitar 8.22 pagi.

Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 48 tahun dipercayai terperangkap selepas insiden tanah jerlus.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa pada petang Jumaat tidak menolak kemungkinan mamgsa dipercayai dihanyutkan oleh arus deras di bawah tanah.