Tinjauan Astro AWANI mendapati masih ramai petugas keselamatan yang terlibat dalam operasi SAR berada di lokasi kejadian.
Difahamkan, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibawa masuk ke dalam lokasi mendapan bagi meneruskan usaha mencari mangsa.
Media dimaklumkan hanya dua anggota dibenarkan masuk pada satu-satu masa dalam pembetung yang berdiameter 1.5 meter berkenaan.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan tidak banyak petunjuk yang ada meskipun pelbagai usaha dilakukan, termasuk dengan bantuan teknologi.
Sementara itu, Jalan Masjid India di Kuala Lumpur ditutup pada Rabu kepada semua kenderaan susulan mendapan tanah dikesan berlaku berdekatan sebuah pondok polis iaitu pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus, baru-baru ini.
Pita kuning Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipasang sepanjang jalan dari Masjid India hingga Maybank di Jalan Bunus.
Bagaimanapun, pejalan kaki masih dibenar melalui sebahagian jalan itu yang tidak terjejas manakala kedai di kawasan sekitar dibuka seperti biasa.