Difahamkan, kawasan pencarian yang bermula di lokasi kejadian turut diperluaskan sepanjang saluran kumbahan itu sejauh beberapa kilometer (km) yang akan berakhir di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsultiom (IWK) Pantai Dalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, sebelum ini berkata pasukan SAR telah melakukan pencarian 100 peratus di lokasi wanita itu terjatuh sehingga tengah malam tadi, namun belum berhasil menemukan mangsa.
Justeru katanya, IWK akan membuka semua pintu injap di dalam saluran kumbahan sepanjang tujuh km bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Pasukan SAR perlu masuk ke dalam ini melalui saluran kumbahan. Mereka akan masuk ke dalam saluran IWK satu persatu dan kalau kita tengok saluran ini kumbahan (berakhir) di Pantai Dalam,” katanya malam tadi.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati, sebuah jentera bomba dilihat masuk ke Unit Operasi Kuala Lumpur, IWK Pantai Dalam pada jam 11.06 pagi ini.
Namun begitu, cubaan Astro AWANI untuk masuk ke lokasi tidak berjaya apabila pihak keselamatan memaklumkan menerima arahan daripada pengurusan tidak membenarkan pengamal media membuat liputan di dalam premis.
Dalam kejadian pagi semalam, mangsa, Jayaletchumy, 48, dilapor tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter di kawasan Jalan Masjid India dan belum dijumpai sehingga kini.
Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 12.30 tengah malam tadi kerana hujan lebat dan persekitaran gelap yang memberi kesukaran kepada usaha mencari mangsa.
Operasi SAR selama 17 jam pada Jumaat hanya menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran lokasi kejadian.