KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini ditangguh jam 1 pagi tadi dan dijangka disambung semula jam 8 pagi nanti.

Bernama difahamkan SAR ditangguhkan selepas kerja memasukkan kamera teleskopik selesai dijalankan oleh sebuah syarikat swasta.

Terdahulu sebuah lori membawa peralatan berkenaan tiba di lokasi kira-kira jam 10.15 malam tadi bersama tiga individu sebelum membuat kerja-kerja SAR di lurang kumbahan di dua kawasan pencarian yang dikesan tersumbat akibat sisa sampah dan 'backlog'.

Mereka kemudian dilihat meninggalkan lokasi pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

-- BERNAMA