Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu diambil selepas kerajaan mengambil kira isu keselamatan membabitkan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar.
Kata Dr Zaliha, keputusan itu adalah hasil dapatan dan perbincangan dibuat dengan semua agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain pakar pelbagai agensi.
“Keselamatan ini ada beberapa perkara. Pertama, keselamatan anggota SAR yang turun ke bawah mencari mangsa... arus deras dan sebagainya membahayakan anggota kita.
“Kedua, keselamatan kawasan sekitar kerana seperti kita tahu, kita lihat kesan seperti mendapan kedua. Ini juga beri kebimbangan.
“Ketiga, kita perlu segera benarkan untuk aktiviti harian diteruskan di sini, tetapi dalam masa yang sama kita tak ketepi hal keselamatan pengunjung,” katanya dalam sidang media, pada Sabtu.
Jelas Dr Zaliha, fasa seterusnya ialah pencarian dan pemulihan yang akan dikendalikan PDRM.
“Ada beberapa perkara juga kita akan lakukan, pertama oleh pihak DBKL sendiri antaranya pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.
“Kita perlu juga buat sesi libat urus dengan peniaga untuk kita bantu mereka meneruskan aktiviti di sini kembali,” katanya lagi.
Tambahnya, DBKL juga akan melakukan proses pemulihan dan pembangunan semula di kawasan Masjid India, meliputi kawasan sejauh 100 meter dari tempat kejadian.
Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa semua pembangunan baharu di Kuala Lumpur perlu membuat pelaporan geoteknikal terlebih dahulu.