KUALA LUMPUR: Usaha pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India sejak Jumaat lalu terus mendapat sokongan orang ramai.

Terbaharu, kumpulan daripada Persatuan Malaysia Hindu Sangam and Hindu Dharma Maandram hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan SAR.

Kumpulan empat individu itu tiba pada jam 1 tengah hari dan menyumbangkan makanan percuma kepada pasukan SAR serta pengamal media.

Mereka turut dilihat mengadakan ritual bacaan doa berhampiran kawasan SAR.

Jurucakap kumpulan itu, Vanija Dewarajoo berkata, mereka berasa terpanggil untuk turut sama menghulurkan bantuan dalam kapasiti tersendiri dengan harapan mangsa segera ditemui.

“Kami berdoa supaya mangsa ditemui segera, selain itu kami berdoa juga untuk pasukan penyelamat agar usaha mereka dipermudahkan,” kata Vanija ketika ditemui.

Dalam kejadian tanah jerlus pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.