Tinjauan Astro AWANI di lokasi setakat ini mendapati pasukan SAR sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar bagi meneruskan operasi pencarian mangsa, namun belum ada sebarang pergerakan setakat ini.
Sekumpulan kakitangan dari sebuah syarikat penyedia penyelesaian tinjauan industri marin meliputi sektor minyak dan gas tiba pada jam 10 pagi tadi dan dilihat membuat perbincangan dengan pasukan bomba dan penyelamat.
Syarikat berkenaan menawarkan beberapa perkhidmatan seperti tinjauan hidrografi, tinjauan geofizik, siasatan geoteknikal dan 'positioning service'.
Semalam difahamkan sebuah kamera teleskopik digunakan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam usaha mengesan mangsa.
Menurut sumber, kamera tersebut menggabungkan teknologi push rod dan kamera crawler yang digunakan sebelum ini.
Penggunaan kamera itu dijangka akan dapat membantu pasukan SAR mendapatkan imej yang lebih jelas, terutamanya di lurang kedua di kawasan pencarian yang tersumbat.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata adalah terlalu berisiko untuk penyelam meneruskan operasi SAR.