KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang pengadang di kawasan sekitar lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India, yang mengakibatkan seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi terjatuh pada 23 Ogos lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pengadang tersebut akan dipasang dalam jarak kira-kira 200 meter bermula dari Wisma Yakin.

Jelas beliau, langkah tersebut antara tindakan segera yang dilakukan pihak DBKL dalam memastikan keselamatan para pengunjung dan pemilik kedai di sekitar kawasan berkenaan.

"Kita juga telah berbincang dengan pihak polis dan pengadang ini diperlukan untuk keselamatan orang ramai.

"Di samping itu, Indah Water Konsortium (IWK) juga sedang menjalankan penilaian integriti kepada semua saluran IWK, dan kita telah berurusan dengan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai geoteknikal keadaan tanah di kawasan  tersebut.

"Ini akan dibincangkan juga dengan lebih terperinci dan kita telah meminta pihak-pihak utiliti untuk menyediakan pemetaan utiliti di kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Jelas Maimunah, pihaknya juga akan membuat perbincangan di lokasi bersama para peniaga termasuk di Wisma Yakin bagi mendapatkan kerjasama daripada mereka untuk membolehkan pemasangan pengadang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses membaik pulih keseluruhan kawasan kejadian dijangka mengambil masa antara tiga sehingga enam bulan.

Katanya lagi, kerja baik pulih itu membabitkan siasatan dan laporan daripada pelbagai jabatan seperti IWK, JMG, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta syarikat utiliti. 

"Paling penting sekali adalah laporan terperinci daripada JMG.

"Dalam keadaan ini, kawasan tersebut daripada kajian awal oleh JMG, IWK dan sebagainya, serta seperti dinyatakan oleh Menteri (Dr Zaliha Mustafa), kawasan ini adalah selamat.

"Tetapi kita telah minta juga pengunjung-pengunjung di situ mengikut arahan polis dan pegawai-pegawai di lapangan supaya menjaga keselamatan dan jangan jalan dekat dengan pengadang yang akan sediakan," ujarnya.

Berhubung permohonan kebenaran merancang untuk pembinaan bangunan di Kuala Lumpur pula, Maimunah berkata pihaknya telah menetapkan syarat baharu melibatkan tiga kategori.

Bagi kategori pertama, katanya ia melibatkan projek yang telah diluluskan tetapi sijil kelulusan belum dikeluarkan oleh pihak DBKL.

"Ini kita akan semak... tak silap saya ada 10 permohonan untuk melihat kepada keperluan laporan geoteknikal. Kita akan minta pemohon-pemohon ini mengemukakan laporan geoteknikal sebelum sijil kelulusan dikeluarkan.

"Kategori kedua, bagi permohonan yang belum diluluskan atau masih dalam proses.

"Kita akan juga akan menyemak dari segi keperluan laporan geoteknikal daripada jurutera bertauliah untuk mereka kemukakan laporan geoteknikal. Bagi pemaju atau konsultan yang ingin mengemukan sebarang permohonan, ia hendaklah dikemukakan dengan laporan geoteknikal," jelasnya.

Semalam, operasi SAR dihentikan atas faktor keselamatan selepas sembilan hari pencarian wanita warga India, yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).