KUALA LUMPUR : Pasukan penyelamat akan memasuki saluran kumbahan secara upstream (ke hulu) dari lurang Wisma Yakin bagi mencari wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, yang terlibat dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Selain itu, kerja-kerja shoring (penyanggaan) secara manual dan kerja-kerja penggalian juga telah dijalankan.

Menerusi kenyataan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah membawa anjing pengesan dari pasukan K9 untuk menjejaki mangsa.

"Dimaklumkan juga, laluan ditutup dari Pondok Polis Jalan Masjid India sehingga ke Semua House bagi kelancaran kerja-kerja di lokasi kejadian.

"Mohon kerjasama orang ramai untuk mengurangkan pergerakan di kawasan tersebut," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, kerja-kerja Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga diteruskan dan akan bersambung pada Khamis.

JBPM dalam kenyataan sama juga memaklumkan operasi pencarian mangsa tanah jerlus itu diteruskan sepanjang hari keenam, sampai ke waktu malam.

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan tidak banyak petunjuk yang ada meskipun pelbagai usaha dilakukan, termasuk dengan bantuan teknologi.

Kira-kira jam 9 malam tadi, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibawa masuk ke dalam lokasi mendapan bagi meneruskan usaha mencari mangsa.

Media dimaklumkan hanya dua anggota dibenarkan masuk pada satu-satu masa dalam pembetung yang berdiameter 1.5 meter berkenaan.

Sehingga kini, masih tiada maklumat terkini berhubung status operasi mencari dan menyelamat mangsa.