KUALA LUMPUR: India memberikan penghargaan terhadap usaha Malaysia dalam mencari dan menyelamat (SAR) seorang rakyatnya, Vijaya Lakshmi Goli, 48, yang hilang susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam sesi pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy, sebelum ini.

Jelas Dr Zaliha, dalam pertemuan itu juga, Reddy menyatakan pihaknya memahami jika operasi SAR terpaksa dihentikan atas sebab tertentu.

"Beliau melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan yang terlibat dalam SAR dan beliau memahami jika kita perlu mengambil keputusan untuk menghentikan operasi.

"Mereka juga akan membantu kita, bersama keluarga mangsa, untuk menyatakan keputusan ini," katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian, pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Dr Zaliha juga memaklumkan keluarga mangsa sudah diberitahu, malah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri sentiasa berhubung dan menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi memberi sokongan dari segi mental dan emosi.

"Keluarga sudah dimaklumkan, tetapi kita akan maklumkan sekali lagi.

"Awalnya memang nampak mereka susah nak terima, tetapi apabila pihak kita sentiasa berhubung dengan mereka, nampaknya mereka mula menerima dan bersetuju juga jika kita terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan pencarian," katanya lagi.

Operasi SAR di Jalan Masjid India dihentikan hari ini selepas sembilan hari pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan mangsa, gagal membuahkan hasil.

Ditanya jika ada sebarang bentuk pampasan akan diberikan kepada keluarga mangsa, Dr Zaliha memaklumkan ia akan dibincangkan.