Dikecam hebat berhubung kenyataannya tentang pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd Yunus bertegas bahawa apa yang dilakukan adalah bukan untuk mempergunakan agama sebagai alat politik.

Sebaliknya, ia bagi membersihkan pelaksanaan AES supaya ia bertujuan untuk mendidik pengguna jalan raya dan bukan untuk mengaut untung daripada saman yang dikeluarkan semata-mata.

Pada masa sama, pelaksanaan kamera perangkap kelajuan itu tidak akan mensiakan aset yang telah dibeli kerajaan terdahulu, menepati konsep maqasid syariah yang dimaksudkan.

“Apa yang kerajaan dahulu buat yang baik kami takkan buang, sebab takkan alat-alat yang dibeli itu kita nak simpan dalam setor atau kita nak buang?

“Adapun kalau orang marah, kata kita dulu cakap lain sekarang cakap lain, tetapi kami bercakap ‘here and now’ selepas melihat balik apa yang baik untuk rakyat dan negara, itu lebih utama,” katanya yang ditemui selepas mengiringi lawatan kerja Menteri Pendidikan Maszlee Malik di sini pada Isnin.

8 Februari lalu, Hasanuddin dalam kemas kini akaun Facebooknya menyatakan bahawa keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan AES dengan pengurusan yang lebih bersih adalah menepati maqasid syariah yang menuntut supaya memelihara nyawa dan harta benda.

Ia sekali gus menggamit kecaman netizen yang marah kerana ia bercanggah dengan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk menghapuskan AES.


Ahli Parlimen Hulu Langat itu menyedari hal tersebut, tetapi sekali lagi menegaskan bahawa keputusan dibuat berasaskan keadaan semasa.

“Kami cuba membersihkan (pelaksanaannya) sebab dalam maqasid syariah juga dituntut supaya memastikan pengurusan harta yang betul,” jelasnya.